Umrah Tawaf Bacaan Doa
Assalamualaikum,
Ini adalah sambungan daripada lmbaran pertama: Umrah Tawaf dan Praktis. Seperti yang diungkap, amalannya ialah doa yang hadir daripada hati yang paling dalam. Dasar hati yang gelap dan wujud daripada titik dosa hingga ke hitaman pandangan. Jangan malu, pikul semua itu dan bawa bersama waktu melakukan Umrah. Dijemput dan dipanggil Allah untuk ke rumahnya, disini menjadi saksi segala aduan dan tangisan yang diluah. Kenapa malu untuk menitikkan air mata? Sekeras mana hati bila pada Penciptanya ia menghadap. Allah membelai hati-hati yang diberi syafaatNya. AllahuAkbar.
Apa bacaan masa Umrah tawaf? Doaku baca mengikut pada pengalaman hidup di atas dunia, disini dititip asas tujuh pusingan bacaannya. Kalian boleh mengambil panduan dan kemudian menjadikan pada doa yang lain lebih baik dan diberkati. Jangan sia-siakan masa yang ada di dunia ini untuk menjadi insan yang dipilih Allah. Tujuh pusingan sangat sekejap, lebih kurang 30 minit sahaja. Gunakan setiap detik pandang sayu pada Kaaba, lidah itu menekan doa-doa seisi hidup. Mudah-mudahan ini menjadikan Muslim Muslimat di luar sana, Umrah tawaf mudah dan penuh kesyukuran.
1-Doa untuk Nabi Muhammad dan para sahabat baginda. Titip Al Fatihah, doa dan selawat buat setiap perjuangan baginda pada Islam yang membawa diri ini hadir sebagai seorang Muslim. Titik peluh dan darah mereka yang mengalir semua buat Islam, keberkatan hidup mereka dan syurga buat mereka. Allah menyayangi mereka dan doa juga hadir untuk Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah. Gerakkan hati ini dan perbuatan depan untuk sama-sama memperjuangkan apa yang dijuangkan mereka pada masa lepas. Islam itu agama hakiki, ucap Syahadah.
2-Doa untuk keluarga dan saudara. Titip Al Fatihah dan sebut nama Ibu Ayah yang melahirkan dan membesarkan. Jasa mereka sangat besar dalam mendidik dan keruh payah membentuk akhlak dan iman anak-anaknya. Doa juga buat adik-beradik, sebuat nama mereka dan anak-anak mereka. Lindungi mereka dan masukkan semuanya ke dalam Syurga milikMu ya Allah dan jangan ditinggalkan walaupun satu. Kerana Syurga itu indah dan neraka itu menyakitkan. Doa sama buat saudara dekat dan jauh, titip Al Fatihah buat mereka juga. Moga hidup mereka diberkati dan dilindungi.
3-Doa untuk kawan-kawan, jiran dan Muslim Muslimat dunia. Orang di sekeliling doakan sekali, ini antara penyebab pintu syurga dijejak. Jadikan kawan-kawan juga antara golongan yang Islami dan sembahyang pada awal waktu. Doa buat jiran yang dimualiakan, berbaik sangka selalu dan buat yang dilupakan dan tak terungkap. Antara halal dan dosa pahala diserah, maafkan mereka dan lepaskan segalanya. Minta di tenangkan hati daripada fitnah dan jalan yang berliku, Al Fatiha buat Muslim Muslimat seluruh dunia yang terlepas pandang kelaparan, kepayahan atau kekedaifan.
4-Doa buat diri sendiri, Kepala. Titipkan Al Fatihah buat diri sendiri, mulakan daripada atas iaitu kepala. Meminta untuk diberi pemikiran yang aman, tegar Islam, suci daripada pengalaman lepas dan kekotoran dunia. Membawa pemikiran untuk berbaik sangka selalu, dipelihara daripada fitnah dunia dan kubur, walaupun fitnah angin kecil. Doa untuk menjaga aurat secukupnya juga setiap helai rambut. Lindungan panas pada Hari Kiamat dan meredupkan pandangan mata pada yang diredhai. Telinga yang mendengar Islami Allah. Juga pada lidah dan mulut yang berkata-kata baik sahaja dan selawat padaMu.
5-Doa buat diri sendiri, Badan. Titipkan Al Fatihah pada diri sendiri. Doa hati yang khusyuk, selalu memaafkan dan diberkati. Doa juga untuk solat-solat diterima, kesihatan baik, menikmati hasil halalan atas bumi ini. Doa ditujukan untuk keberkatan pekerjaan yang dilakukan, lulus peperiksaan, pakaian yang dipakai, dan pembelajaran hari-hari. Doa pada hadapan hasil kekayaan yang melimpah ruah tanpa putus seperti air Zam-zam dan menggunakan baik isi dunia. Doa buat ujian di dunia dengan media sosial dan hanya pada Islam semua diserah.
6-Doa buat diri sendiri, Kaki Tangan. Titip Al Fatihah pada diri sendiri. Doa untuk tangan yang lahir yang melekap dan gunakan ia pada jalanMu hingga akhir hayat. Ia menjadi saksi akan menerima kitab amalan kelak akhirat di tangan kanan dan asbab kebaikan membawa ke Syurga milik Allah. Doa buat kaki yang melangkah pada tempat-tempat diberkati, dipelihara auratnya dan tiada kekasaran dilakukan. Kaki ini menjadi saksi jejak-jejak di Syurga dan kelembutan dasar tanah milik Allah.
7-Doa buat diri sendiri, Keseluruhannya. Titip Al Fatihah pada diri sendiri. Doa buat pasangan dan keluarganya yang Islami dan peneman akhirat, rezeki anak-anak lahir menegakkan Islam dan perkahwinan bahagia hingga akhir hayat. Doa buat hidup dunia penuh keberkatan dan keredhaan hakiki hingga membawa Syurga di akhirat. Matikan dalam Syahid, menyebut Syahadah dan namaMu Allah. Jasad ini penuh dosa, hapuskanlah dan sucikanlah dan mulakan hidup baru dan tetapkanlah Islam itu pada diri hari ke hari. Takutku pada neraka, dan selamatkanlah daripadanya, Allah O Allah, Maha Mendengar dan Maha Memakbulkan doa-doaku. Aamin.
InsyaAllah, doa-doa yang diucap itu didengar dan diberi perhatian oleh Allah. Doa-doa ini juga boleh digunakan untuk hari-harian selepas solat atau doa berkati di dalam solat. Selepas Tawaf, buatlah solat sunat Tawaf dua rakaat dan sambung doa-doanya lagi. Mana yang tadi tertinggal atau terlupa, Allah sentiasa ada dan Maha Mengasihani. Ingat, jangan putus doa untuk memberi tahu Allah bahawa insan ini tidak pernah putus asa untuk mendapatkan rahmat dan berkat milik Allah. Allahu Akbar!
Dalam masa beberapa hari, akan memasuki musim Haji. Moga buat yang menunaikan Haji, makbrur buatmu hamba Allah.
Comments
Post a Comment
-please share your thoughts here, dude