Search This Blog

Saturday, December 02, 2023

End of 2023

 Hai, Apa khabar semua?

Lama benar rasanya tidak menjengah blog ini, datang sini pun sebab rindu. Tidak langsung peduli untuk menaip dan berkongsi kisah hidup dari sisi empunya pemilik ini. Sekarang baru terasa auranya, tetapi tidak tahu sampai bila bertahan. Hendak menaip dan menceritakan sedikit sebanyak jalan hidup ini bukan satu kerja yang mudah. Kadang ia mencurah banjir dan laju sahaja ketak-ketuk papan kekunci. Tak sedar, dan lapan belas baris... Tapi kadang angin sepoi-sepoi bahasa datang, idea lambat sampai dan hendak dapatkan sepatah dua pun susah okay.

Masuk hari ini sudah bulan dua belas, hujung tahun 2023. Macam mana tahun 2023 ini bagi kamu semua? Ada baikkan atau sebaliknya? Ada perubahan atau masih sama? Adakah azam 2023 perlu dipanjangkan ke tahun 2024? Bagaimana itu boleh terjadi, mungkin bulan terakhir ini masih ada cahaya untuk pencapaian yang lebih baik? Itu adalah soalan untuk kamu semua daripadaku yang jauh disini. Kita mungkin kawan, kita mungkin asingan, kita mungkin se-Islam, kita mungkin se-Malaysia, tapi kita semua adalah manusia. Yang ada hati dan perasaan untuk membuktikan yang kita boleh. Ya, boleh melakukannya!


Bila difikirkan balik, sepanjang awal bulan hingga kini...banyak sebenarnya yang terjadi. Sebesar-besar pemergian sang Ayah tercinta kepada sekecil-kecil rajin mengucapan terima kasih. Ini sebenarnya telah langsung mengubah hidup dengan pelajaran dan ikhtibar daripada kesalahan atau dosa kepada yang lebih baik dan sedikit beria-ia mendapatkan pahala. Ini dianggap salah satu tahun yang begitu banyak pencapain menggenali diri sendiri terutamanya. Orang selalunya mencari diri sendiri masa muda remaja, tetapi selekoh itu tetap ada hingga kita dewasa dan seterusnya.

Mulakan awal tahun dengan ambil cuti kerja pada Januari sebab hendak kejar musim sejuk. Negara yang dipilih adalah Korea, itu pun ikut serta pada saat akhir dengan agensi yang bertauliah. Betapa cool saaat itu sebab buat bayaran masa sebelum balik Malaysia, dan selesaikan dalm beberapa hari sahaja. Bagusnya, mereka yang uruskan semua. Dan masa nak berlepas ke Korea pula, baru beritahu Mak dan arwah Ayah. Itu pun ada niat hendak bagi aslasan duduk Kuala Lumpur sahaja. Tetapi kalau apa-apa terjad, siapa mahu jawab. Jadi, nak tak nak...mereka geleng kepala sahaja. Sebab baru seminggu sampai Malaysia, sudah terbang lagi.

Pergi Korea, memang tujuan utama nak makan makanan mereka dan main salji! Tetap siap sedia satu sardin juga, sebab takut tak boleh terima. Salji turun masa hari kedua dan ketiga adalah malam, masuk hari keempat dan kelima petang sampai malam. Jadi, paginya bertimbunlah salji. Mereka tabur pasir atau garam kasar untuk bagi elak pejalan kaki tergelincir licin. Masa sebelum balik juga rasa salji turun, sempurnalah! Makanan mereka pula, memang rezeki agaknya...geng yang sama-sama itu, belanja makan dalam tiga empat kali juga. Jadi, jimat banyak. Dan tentulah buah-buahan mereka yang amhal itu menjadi kudapan sebab sejuk asyik lapar jer.

Dan arwah Ayah tidak sihat sejak tahun lepas lagi, jantung tidak berapa kuat. Tetapi rajin perhi jumpa doktor dan penuhi temu janji. Masa bulan Mac itu, sedikit menurun kesihatannya dan lemah. Pada April, keluar masuk hospital. Emak ada cakap, Ayah kalau Ramadan mesti masuk hospital-Eh, tahun ini tidak masuk pula. Tetapi lepas beberapa hari Raya, masuk hospital dan bila sehari selepas balik rumah...Ayah hypogulcemic tetapi dia tidak mahu ke hospital sudah. Dia tahu masanya telah tiba, untukku hanya Videocall sahaja. Pagi selepas subuh, Pegawai perubatan mengesahkan ayah sudah meninggalkan dunia. Al-Fatihah untukmu Ayah. 

Pengkebumian dalam pukul sembilan pagi, cepat dan bagus urusan penggebumiannya. Dan untukku masih mengguruskan pelepasan visa dan tiket kecemasan. Sampai Malaysia pada hari kedua petang selepas pemergiannya. Terus pergi melawat kubur, baru peluk Mak. Tahlil malam untuk hari Ke-tiga. Dan teman mak tidur malam itu, rasa sangat lain. Memang terbawa emosi, tidur kejap lena-kejap terjaga. Dan selepas itu, semua adik beradik membawa haluan masing-masing. Teman mak sampai sepuah hari, nampak dia sangat lain dan kehilangan pasangan hidup selama empat puluh tahun lamanya adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Mak, kuat okay!

Panjang pula ceritanya kan, sudah ku bilang idea menaip sangat melimpah ke ladang gandum. 

Sambung ke lembaran seterusnya...


Sunday, June 04, 2023

Ayah.

Assalamualaikum. Ini adalah surat buat ayahku. 

Ayah, 
Aku lahir sebagai anak perempuanmu, bukan anak lelakimu. Aku menjadi anak yang ditengah-tengah, punyai abang dan kakak yang seiring membesar. Aku tahu aku bukanlah anak kesayanganmu, tetap yang sekali-sekala engkau sorot pandang. Aku juga hanya anak biasa, tidak manja dan sangat takut ingin meminta-minta. Dan ini adalah tetap aku, anakmu. 

Ayah, 
Aku tidak ingat pada baju yang engkau belikan hanya untukku pada waktu kecil. Pasti ada walaupun sehelai, aku yakin itu. Atau aku selamanya berkongsi sahaja. Kadang detik, engkau membawa sesuatu untuk anak-anakmu. Tapi, anakmu ramai ayah. Aku tetap makan tanpa memilih, aku makan semua. Air "vintagen", sejarah tanda engkau tinggalkan masih ada di peti sejuk buat cucu sekalian.

Ayah, 
Aku dididik untuk masih senang bangun pagi dan akan mengambil sarapan tanpa putus. Aku diajar untuk menepati masa dan tidak membiarkan sesiapa menunggu. Dulu, aku selalu lebih awal daripada penjaga sekolah. Aku ingat itu. Aku belajar menggemas dan meletakkan kembali sesuatu pada tempatnya juga. Aku tutup lampu dan tidur awal tepat 10 malam. Aku masih manusia yang sama. 

Ayah, 
Aku sudah dewasa, bekerja dan mempunyai biaya hari-hari. Aku memenuhi ruang hidup dan boleh membeli makanan sendiri. Aku juga sering membelimu baju dan sedikit rezeki dititip buatmu. Aku dan engkau semakin berjarak, kerana aku terbang jauh. Aku ingin menggubah menjadi lebih baik dan berjaya. Aku lakukan itu hingga kini dan tidak putus asa. Aku belajar itu daripadamu. 

Ayah,
Aku tahu engkau bekerja keras, kerjamu susah dan berat sekali mengagangkat barang. Aku lihat engkau pergi memandu melintas pekat pagi dan pulang cahaya petang. Engkau bekerja sampai peluh dan muncul titik-titik hitam di baju. Hingga tenaga menarik pemiliknya dan engkau lemah sebelahnya. Aku melihat si kuat yang jatuh dan bersara di sangkarnya. Buktinya ada di depan mataku. 

Ayah,
Aku hanya punya satu kata, terima kasih atas segalanya. Bait-bait ayat dan tingkah tidak dapat menebus tapi hanya menghiasi. Aku suka berkongsi pengalaman denganmu, tapi kini hanya ada satu pendengar. Aku sentiasa ingat dakapan, air mata dan pandangan terakhir engkau berikan di bulan January dulu. Dan Mei menjemput engkau ke alam abadi. Aku redha. Memori denganmu aku diamkan. 

...Al Fatihah buatmu, ayah. Shahrudin bin Ab Aziz. 
Ayah, bajumu itu aku simpan. 

Tuesday, April 18, 2023

Pengalaman Ramadhan 1444H di Mekah

 Assalamulaikum semua,

Alhamdulillah, tahun ini menjalani Ramadhan di Mekah al Mukarramah, Saudi Arabia. Tahun lepas sepenuhnya Ramadan dan Beraya dengan keluarga di Malaysia. Jelas, tahun ini memang pertama kali  merasai sepenuhnya suasana berpuasa dan beraya di negara orang. Alhamdulillah, masa bercuti bulan Januari dan Febuari lepas telah habiskan sebaiknya masa dengan keluarga dan kawan-kawan.  Jadi, semuanya faham keperluan diri ini mencari rezeki di negara orang dan azam yang sama. Moga sama-sama mendapat berkat Ramadan daripada Allah S.wt. 

Alhamdulillah, hari ini telah masuk 27 Ramadhan 1444h dan masih lagi berusaha untuk mendapatkan kebaikan dan keberkatan Ramadan yang mulia. Zakat telah ditunaikan secara atas talian. Segala kelakuan baik dan sedekah memang dikejar. Tanya kakak yang kerja kakitangan hospital dan adik yang kerja di sekolah-hulurkan seberapa yang mampu dan mereka sebagai orang tengah menyalurkan pada yang berkenaan. InsyaAllah, sama-sama memperoleh pahala Allah.

Al-Quran?

Tetap pendirian untuk Khatam Quran. Sekarang, tengah muka surat 562, dan InsyaAllah dipanjangkan umur habislah semua 604 muka surat. Pertama kali juga sepanjang hidup 33 tahun untuk Khatam sendirian, MasyaAllah. Biasa di Malaysia, memang setiap kali Ramadhan akan kongsi-kongsi untuk Kahtam atau biasanya separuh jalan sahaja. Tetapi, Alhamdulillah berada di sini, memang segalanya berjalan lancar. 

Rahsianya disiplin dan bila ada masa terluang sahaja, cari Quran-guna kitab atau dengan aplikasi telefon. Sepanjang masa- lepas solat fardu, tunngu masuk waktu, tunggu bas, tunggu kawan sampai, dalam perjalanan, tunggu waktu berbuka, jaga pesakit. Apa sahaja masa yang ada, jangan tengok telefon pada benda-benda tidak berfaedah. Gunakan sebaiknya untuk sebulan sahaja ini, dan Ramadan seterusnya hanya ada pada tahun depan dan belum tentu kita tahu adakah berjumpa lagi bulan mulia ini. Tepuk dada, tanya iman.

Masjidil Haram?

Alhamdulillah, sepanjang Ramadan telah dua kali umrah dan bila ada masa sahaja-kejar untuk Taraweh di sana. Memang dugaan bila ramai orang, dan bersesakan dengan peluh dan panas. Tetapi, sebabkan untuk bulan Ramadan-sanggup. Teraweh pertama dengan kawan masa belajar di University Malaya dulu. Memang rezeki jumpa di Mekah dan sangat baik. Masa ini, masuk masjid sangat sesak dan solat di bahagian rooftop. Bila masa hendak balik, ya Allah. Dengan bas semua penuh dan taxi tak boleh masuk perkarangan tepi masjid. Kami tergendala sekejap dan tunggu kawan-kawan Malaysia lain dan jauh jauh sikit dan sama-sama naik taxi balik rumah.

Lepas itu, taraweh di rumah atau masjid berdekatan hospital. Bila masuk pertengahan Ramadan, pergi lagi ke Masjidil Haram untuk Umrah dan Taraweh 10 rakaat. MasyaAllah, kadang-kadang terfikir bila tengok tepi-tepi jalan orang jalan kaki, bentang sejadah dan sama-sama berebut naik bas. Ada yang bertongkat, berkerusi roda, pakaian ihram, bersama anak kecil dan orang tua uzur...Itu belum sebut sesaknya masa menunaikan tawaf-sampai bejalan berhenti, berjalan berhenti. Padat. Bagaimanlah susana Padang Mahsyar nanti bila semua berebut nak masuk Syurga?! Rasa nak menangis. 

Di Masjidil Haram juga belajar untuk berbuka puasa pada apa rezeki ynag ada. Masa itu tengah buat saie lagi dan azan Maghrib-berhenti sekejap dan orang mula berkongsi kurma, segala jenis biskut. Orang lelaki mula menuang air Zam-zam dan diedarkan pada yang memerlukan, inilah Muslim sebenar. Berkongsi rezeki dan ada seorang perempuan membaling roti kering apabila kita mengangkat tangan tanda memerlukan. Dua kali melalui pengalaman ini. Bersyukur dan sangat terharu. Buka dengan hanya roti kosong dan air zam-zam, dan bertenaga untuk Maghrib dan teruskan umrah.

Waktu berbuka dalam pukul 0635 petang dan pada pukul 0500 petang keatas, mereka mula membahagi rezeki dan derma makanan. Sepanjang jalan menuju ke Masjidil Haram, ada dapat buah atau kurma, roti-roti dan sebagainya. Ada juga menerima Saudi Food Bank yang terkandung air, roti keju putih, kurma dan kek kecil. Sangat dermawan dan sangat menyukai pengalaman ini. Penaglaman lain, lihat ada masjid kecil luar darI Masjidil dan mereka membentang panjang plastik dan mula menyusun setiapnya makanan untuk berbuka dan orang ramai sedikit-sedikit datang kesana. 

Sepuluh malam terakhir Ramadhan? 

Bila masuk sepuluh malam terakhir dan hendak mendapatkan Lailatul Qadar dan menghabiskan sisa-sisa kemuliaan Ramadan penuh ujian. Hendak buka di luar bersama kawan-kawan, jadinya Tarweh hanya di rumah atau masjid hospital. Tetapi bila betul-betul kerja pagi atau cuti memang terus pergi ke Masjidil Haram. Bila macam ini, terus terfikir, indah sangat bila berbuka sama-sama di masjid dan solat jemaah Mghrib ke Isyak dan terus Taraweh. 

Waktu Tahajjud lapan rakaat oleh Masjidil Haram mula jam 1230 tengah malam,  Jadi, daripada pukul 0430 atau 0530 petang sampai 0300 pagi di sana. Pada akhir sepuluh Taraweh tiada witir. dan mulai Tahajjud dengan witir dan doanya. Doa pada akhir witir sangat panjang dan menyentuh hati. Memang akan menangis, dan betul-betul berharap. Kiri kanan menagis, automatik sama menangis akan mengharapkan dihapuskan dosa, taubat, keberkatan pahala Ramadan, dan balasan Syurga. 

Harapan Ramadan?

MasyaAllah, semua pengalaman yang tidak akan dapat di mana-mana. Syukur ya Allah atas keredhaanMu ini. Rezeki kerja di Mekah dan hanya 15 minit ke sana dan tidak perlu risau tempat tinggal hotel atau kos perjalanan yang ribuan. Syukur sekali lagi. Memang keputusan untuk kerja di Bulan Ramadan sangat berat sebab ramai pesakit umrah keluar masuk dan memenatkan. Tetapi bila fikir balik bila inilah keredhaan yang diperolehi-i'm good. 

Kemuliaan Ramadan yang rasa biarlah ia sepanjang tahun. Berat untuk meninggalkan bulan mulia ini. Bulan yang mengubah banyak persepsi hidup, dosa dan pahala, sadaqah dalam Islam dan sisi lainnya. Memang tiada rasa hendak meraikan Raya seperti sebelumnya, yang sibuk dengan baju raya dua tiga, kuih raya semua atau balik kampung. Mungkin sebab duduk diperantaun, jadi tidak perlu fikir itu semua jadikan diri ini lebih matang dan berdikari. Memang sebetulnya, itu hanyalah ilusi yang hanya bertahan dua tiga hari. MasyaAllah. 

Baiklah, perkongsian ini memang terus daripada hati dan semoga Allah jumpakan lagi kita semua di Ramadan yang mendatang. InsyaAllah merasai lagi Ramadan di Mekah dan suasananya. InsyaAllah ya Allah, InsyaAllah ya Allah. Berjumpa lagi di pengalaman seterusnya!

P/S Terima kasih atas hadiah sejadahnya!

End of 2023

 Hai, Apa khabar semua? Lama benar rasanya tidak menjengah blog ini, datang sini pun sebab rindu. Tidak langsung peduli untuk menaip dan ber...