Search This Blog

Showing posts with label cerita sseorang ayah. Show all posts
Showing posts with label cerita sseorang ayah. Show all posts

Sunday, June 04, 2023

Ayah.

Assalamualaikum. Ini adalah surat buat ayahku. 

Ayah, 
Aku lahir sebagai anak perempuanmu, bukan anak lelakimu. Aku menjadi anak yang ditengah-tengah, punyai abang dan kakak yang seiring membesar. Aku tahu aku bukanlah anak kesayanganmu, tetap yang sekali-sekala engkau sorot pandang. Aku juga hanya anak biasa, tidak manja dan sangat takut ingin meminta-minta. Dan ini adalah tetap aku, anakmu. 

Ayah, 
Aku tidak ingat pada baju yang engkau belikan hanya untukku pada waktu kecil. Pasti ada walaupun sehelai, aku yakin itu. Atau aku selamanya berkongsi sahaja. Kadang detik, engkau membawa sesuatu untuk anak-anakmu. Tapi, anakmu ramai ayah. Aku tetap makan tanpa memilih, aku makan semua. Air "vintagen", sejarah tanda engkau tinggalkan masih ada di peti sejuk buat cucu sekalian.

Ayah, 
Aku dididik untuk masih senang bangun pagi dan akan mengambil sarapan tanpa putus. Aku diajar untuk menepati masa dan tidak membiarkan sesiapa menunggu. Dulu, aku selalu lebih awal daripada penjaga sekolah. Aku ingat itu. Aku belajar menggemas dan meletakkan kembali sesuatu pada tempatnya juga. Aku tutup lampu dan tidur awal tepat 10 malam. Aku masih manusia yang sama. 

Ayah, 
Aku sudah dewasa, bekerja dan mempunyai biaya hari-hari. Aku memenuhi ruang hidup dan boleh membeli makanan sendiri. Aku juga sering membelimu baju dan sedikit rezeki dititip buatmu. Aku dan engkau semakin berjarak, kerana aku terbang jauh. Aku ingin menggubah menjadi lebih baik dan berjaya. Aku lakukan itu hingga kini dan tidak putus asa. Aku belajar itu daripadamu. 

Ayah,
Aku tahu engkau bekerja keras, kerjamu susah dan berat sekali mengagangkat barang. Aku lihat engkau pergi memandu melintas pekat pagi dan pulang cahaya petang. Engkau bekerja sampai peluh dan muncul titik-titik hitam di baju. Hingga tenaga menarik pemiliknya dan engkau lemah sebelahnya. Aku melihat si kuat yang jatuh dan bersara di sangkarnya. Buktinya ada di depan mataku. 

Ayah,
Aku hanya punya satu kata, terima kasih atas segalanya. Bait-bait ayat dan tingkah tidak dapat menebus tapi hanya menghiasi. Aku suka berkongsi pengalaman denganmu, tapi kini hanya ada satu pendengar. Aku sentiasa ingat dakapan, air mata dan pandangan terakhir engkau berikan di bulan January dulu. Dan Mei menjemput engkau ke alam abadi. Aku redha. Memori denganmu aku diamkan. 

...Al Fatihah buatmu, ayah. Shahrudin bin Ab Aziz. 
Ayah, bajumu itu aku simpan. 

End of 2023

 Hai, Apa khabar semua? Lama benar rasanya tidak menjengah blog ini, datang sini pun sebab rindu. Tidak langsung peduli untuk menaip dan ber...